Bateri baru ditukar, namun enjin masih gagal dihidupkan? Komponen starter motor wajar diperiksa.
Starter motor merupakan komponen penting yang berfungsi memutar enjin ketika proses penghidupan kenderaan. Jika komponen ini lemah atau gagal berfungsi, enjin tidak akan hidup walaupun kunci diputar berkali-kali.
Apabila kunci dihidupkan atau butang mula ditekan, arus elektrik dari bateri akan dihantar ke solenoid. Solenoid ini berfungsi sebagai suis utama yang menghubungkan bateri dengan starter motor.
Setelah diaktifkan, gear kecil pada starter motor akan berpaut pada flywheel enjin. Pada peringkat ini, bunyi khas ‘krak krak’ yang biasa didengar ketika menghidupkan enjin akan kedengaran. Jika gear gagal berpaut dengan sempurna, proses menghidupkan enjin akan terganggu.
Starter motor kemudiannya akan memutarkan flywheel, sekali gus menggerakkan enjin sehingga ia hidup sendiri. Setelah enjin dihidupkan, starter motor akan berhenti berfungsi dan gear akan tertarik keluar secara automatik bagi mengelakkan kerosakan.
Masalah biasanya timbul apabila gear menjadi longgar, solenoid mengalami kelemahan, atau motor haus akibat penggunaan berpanjangan. Dalam keadaan ini, ramai pengguna menyangka bateri bermasalah, sedangkan puncanya ialah starter motor.
Sekiranya starter motor mula menunjukkan tanda-tanda kegagalan seperti bunyi pelik, penghidupan enjin yang lambat atau kerap kali gagal, disarankan untuk melakukan pemeriksaan awal di bengkel. Langkah ini dapat mengelakkan masalah lebih besar ketika di jalan raya.
Walaupun bersaiz kecil, fungsi starter motor amat penting. Tanpa komponen ini, sesebuah kenderaan tidak dapat dihidupkan langsung. Oleh itu, penjagaan berkala amat digalakkan demi kelancaran penggunaan harian.
