16 JULAI 2025 | DENGKIL, SELANGOR
DENGKIL – Ketua Aktivis Nambikkai Kebangsaan, Datuk Dr Kalaivanar, hari ini menyuarakan rasa kecewa dan kebimbangan terhadap tindakan seorang Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Dengkil yang didakwa telah menceroboh ruang udara kawasan milik seorang pengusaha lori tempatan, Encik Mogan, dan kemudian mendedahkan gambar hartanya di media sosial secara terbuka.
Menurut Datuk Dr Kalaivanar, tindakan yang dilakukan oleh pengerusi JPKK terbabit bukan sahaja tidak beretika, malah turut didakwa berunsur menghasut, hingga mencetuskan kekacauan.
“Beliau sendiri dalam kenyataan mengakui menggunakan drone untuk merakam kawasan Encik Mogan tanpa kebenaran. Perlu diingat, penggunaan drone di Malaysia tertakluk kepada undang-undang dan memerlukan permit. Bukannya boleh sesuka hati terbang masuk ke kawasan persendirian,” katanya malam tadi.
Lebih mengejutkan, gambar-gambar lori, jentera dan kawasan hartanah milik Encik Mogan telah dimuat naik di laman Facebook peribadi pengerusi JPKK tersebut, bersama kenyataan-kenyataan yang berbaur kebencian.
“Apa salah lori keluar masuk? Lori tersebut berdaftar, lengkap cukai jalan, dan melalui pemeriksaan Puspakom. Beliau bukan penjenayah. Beliau bekerja, menguruskan perniagaan. Tapi kerana cemburu, kerana beliau seorang India yang berjaya dalam bidang pengangkutan, dia difitnah dan diaibkan di khalayak umum,” tegas beliau.
Datuk Dr Kalaivanar turut mendakwa bahawa percaya sehingga kini, tiada laporan polis yang dibuat oleh penduduk setempat terhadap kegiatan keluar masuk lori Encik Mogan, justeru tindakan pengerusi JPKK itu dilihat bermotifkan agenda peribadi.
Datuk Dr Kalaivanar memohon pihak polis agar segera membuka kertas siasatan berhubung laporan yang telah dibuat oleh Encik Mogan semalam, dan mendakwa individu terbabit di bawah seksyen berkaitan 3R dan Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Saya puji pihak polis yang menerima laporan semalam. Namun sehingga kini saya difahamkan bahawa laporan itu masih belum dibuka sebagai IP. Saya rayu kepada pihak polis daerah, sila ambil serius perkara ini,” katanya.
“Saya bukan pertahankan kaum India, Melayu atau Cina semata-mata. Saya pertahankan rakyat Malaysia. Kita semua warganegara yang sah, dan kita mahu hidup dalam perpaduan. Jangan kerana tindakan tidak bertanggungjawab seorang pengerusi kampung, masyarakat berpecah-belah,” katanya lagi.
Datuk Dr Kalaivanar juga menyeru agar ADUN dan ahli parlimen kawasan Dengkil turun padang dan menyelesaikan isu ini secara adil dan berhemah.
“Jangan tunggu rakyat naik marah. Pemimpin kena turun, dengar suara rakyat. Jangan hanya cari salah orang yang bekerja, yang cuba menyara hidup keluarga dengan cara yang sah,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa penularan maklumat peribadi, gambar harta dan kenyataan berunsur hasutan di media sosial oleh individu merupakan satu kesalahan serius dan wajar dikenakan tindakan undang-undang.
“Hari ini dia dedah lori orang. Esok rumah siapa pula? Malaysia ada undang-undang, bukan negara koboi,” tegas beliau menutup sidang media.