Sebutir bom dipercayai peninggalan Perang Dunia Kedua jenis unexploded ordnance (UXO) dan disyaki masih aktif ditemukan di sebuah kebun kelapa sawit di Felda Bukit Senggeh, di sini, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, kaunter aduan Balai Polis Nyalas menerima panggilan daripada orang awam yang menemui objek dipercayai bom ketika membersihkan kebunnya.
Katanya, bertindak atas maklumat Unit Pemusnah Bom Cawangan Persenjataan Bahagian Logistik dan Teknologi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin bergegas ke lokasi untuk pemeriksaan lanjut.
"Hasil pemeriksaan mendapati objek berkenaan adalah bom lama jenis UXO kategori berat 500 pound (kira-kira 226.79 kilogram)
"Tindakan memusnahkan bom berkenaan akan dilaksanakan esok oleh Unit Pemusnah Bom mengikut prosedur operasi standard ditetapkan," katanya dalam kenyataan petang ini.
Mohamad Rusli berkata, sehubungan itu orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat dan ketenteraman awam.


