Tindakan dua beranak mencuri 33 barangan milik sebuah pasar raya bulan lalu mengundang padah apabila mereka masing-masing didenda RM2,000 selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Suzana Mokhtar menjatuhkan hukuman itu terhadap Sanifah Kulang, 54, serta anak perempuannya, Intan Fazura Jaunes, 27, setelah mengambil kira pengakuan dibuat serta rayuan dikemukakan di mahkamah.
Selain itu, mahkamah turut memerintah dua beranak itu dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda. Bagaimanapuan, kedua-dua mereka membayarnya.
Mengikut pertuduhan pilihan, mereka bersama-sama dengan niat curang menyimpan harta curi milik pasar raya antaranya 14 peket pelembut kain, 10 botol minyak masak pelbagai jenama, tiga kampit beras, peluntur dan serbuk pencuci.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Parit Jawa, di sini pada pukul 5.40 petang, 27 Mei lalu.
Oleh itu, dua beranak itu didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama dengan penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, salah seorang pekerja menyedari terdapat beberapa barangan dalam pasar raya terbabit hilang.
Hasil semakan melalui kamera litar tertutup (CCTV) di pasang di pasar raya itu menunjukkan dua beranak terbabit menolak keluar troli yang penuh dengan barang keperluan tanpa membuat bayaran.
Siasatan mendapati, perbuatan itu dilakukan dengan ‘bantuan’ anaknya, Intan Fazura yang juga tertuduh pertama yang mana ketika itu bekerja sebagai juruwang di pasaraya terbabit.
Dengan dipandu arah oleh kedua-dua tertuduh, polis menemui semula barangan keperluan yang dicuri, disimpan di dapur rumahnya.
Barangan terbabit tidak diimbas oleh anaknya sebelum dibawa keluar. Kedua-dua tertuduh ditahan pada hari sama bagi membantu siasatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yasmin Mohd Piah manakala dua beranak itu diwakili peguam Sakinah Suhaimi daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
