Like this:

DSSM TEGASKAN KEDAULATAN BANGSA & ISLAM

DSSM TEGASKAN KEDAULATAN BANGSA & ISLAM: SILAT BUKAN SEKADAR PERSEMBAHAN, TETAPI LAMBANG NEGARA BERDAULAT

Kuala Lumpur, Sabtu — Sempena Mesyuarat Agung Tahunan ke-6 Dunia Seni Silat Melayu Malaysia (DSSM) yang berlangsung di Pusat Belia Antarabangsa Kuala Lumpur, satu sidang akhbar khas telah diadakan sebagai deklarasi rasmi memperkenalkan pertubuhan ini kepada umum serta menyuarakan pendirian terhadap isu-isu kedaulatan, kebudayaan dan maruah negara.

DSSM, sebagai gabungan lebih 100 perguruan silat dari seluruh Malaysia, kini beroperasi sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tersusun dan progresif. Ia berperanan sebagai benteng budaya, spiritual dan jatidiri bangsa Melayu-Islam di tengah arus moden yang mencabar nilai warisan.

Tujuan Sidang Akhbar DSSM

  1. Memperkenalkan DSSM kepada rakyat dan media
    DSSM tampil secara rasmi sebagai salah satu penggerak utama warisan budaya persilatan di Malaysia.
  2. Menolak tanggapan silat hanya persembahan majlis
    Silat ialah institusi pendidikan bangsa yang membentuk jatidiri dan nilai perjuangan — bukan sekadar tarian budaya.
  3. Menggerakkan NGO dan rakyat sebagai kekuatan tersusun
    DSSM menegaskan bahawa ia bukan sekadar pemenuh kuota dalam wacana nasional, tetapi satu suara akar umbi yang berprinsip.
  4. Menampilkan DSSM sebagai gerakan berdikari dan berpandangan jauh
    DSSM komited memperjuangkan warisan bangsa dan nilai-nilai sejati dalam acuan tersendiri.
  5. Mengembalikan kedudukan silat ke pangkuan institusi Raja-Raja Melayu
    Seiring sejarah, DSSM menegaskan pentingnya peranan ulama, raja dan pendekar dalam mempertahankan agama dan tanah air.
  6. Menuntut pengiktirafan dunia persilatan sebagai institusi pendidikan tidak formal
    DSSM menggesa agar guru-guru dan gelanggang silat diberi peruntukan khas, dan silat dijadikan salah satu komponen sistem pertahanan negara.
  7. Memartabatkan dunia silat dalam era moden
    Walaupun silat telah diiktiraf UNESCO, layanan dalam negara masih belum mencerminkan penghormatan sewajarnya. DSSM menyeru agar Jabatan Warisan Negara dan kementerian berkaitan mengiktiraf dunia persilatan sebagai pemangkin kemajuan negara, bukan sekadar penyeri majlis rasmi

Kembalikan Daulat Raja-Raja Melayu dan Perlembagaan Beraja-Islam

DSSM turut menyuarakan kebimbangan terhadap usaha menghakis kuasa Raja-Raja Melayu, serta menyeru agar asas perlembagaan negara dikembalikan kepada bentuk asal — sebuah Perlembagaan Beraja berteraskan Islam dan Melayu, seperti termaktub dalam Perkara 3 dan 4 Rukun Negara.

“Titah Raja-Raja hari ini makin hilang taring. DSSM berdiri teguh menyeru agar daulat Raja bukan hanya simbolik, tetapi kembali berperanan sebagai payung pelindung rakyat dan agama.”

Gesaan Kepada Kerajaan: Tegakkan Keadilan Tanpa Pilih Kasih

DSSM menggesa kerajaan agar lebih tegas dan adil dalam pelaksanaan undang-undang, tanpa sebarang kompromi terhadap kroni, kaum kerabat dan pempengaruh politik.

“Rasuah, nepotisme dan penyelewengan kuasa bukan sahaja menggugat ekonomi rakyat, tetapi menghakis kepercayaan terhadap sistem negara.”

DSSM: Benteng Bangsa, Suara Akar Umbi

DSSM menyatakan komitmen untuk terus menjadi benteng bangsa, mendepani cabaran zaman tanpa meninggalkan akar tradisi.

“Silat bukan tinggalan masa lalu. Ia denyut nadi sebuah bangsa yang masih ingin bermaruah. DSSM menyeru rakyat untuk kembali kepada nilai, kembali kepada Raja, dan kembali kepada Tuhan.”

SEKIAN. TERIMA KASIH

Dssm

Leave a Reply

Like this:

Discover more from Dunia E-Hailing & P-Hailing

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading