Dua gadis berusia 18 tahun maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki disyaki pengedar dadah di persimpangan lampu isyarat Jalan Tengku Ismail, Temerloh, malam kelmarin.
Mangsa dikenali sebagai Nur Alya Irdina Mohd Azam ,18 dari Taman Temerloh Jaya Indah dan rakannya, Siti Nur Syafiqah Mohd Arif, 18 dari Felda Bukit Damar, Lanchang.
Kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Kejadian berlaku kira-kira 11 malam ketika motosikal Yamaha Ego Avantiz yang ditunggang Nur Alya bersama pemboncengnya, Siti Nur Syafiqah, berhenti di lampu isyarat merah sebelum dirempuh dari belakang oleh kereta Perodua Bezza.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, kereta itu dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun dari Kepong, Kuala Lumpur yang tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Hasil ujian air kencing ke atas suspek adalah negatif, namun pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan menemukan dua peket plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat 50.85 gram dan heroin 0.85 gram di bahagian tempat duduk belakang," katanya.
Suspek kemudian ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) untuk bedah siasat, manakala kenderaan terbabit dirujuk ke Puspakom untuk pemeriksaan lanjut.
Mazlan berkata, pihaknya sedang mengesan saksi awam yang melihat kejadian bagi membantu siasatan.

