Seorang wanita maut dipercayai dibunuh abang kandungnya dalam kejadian di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tenghilan, Tamparuli di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 41 tahun ditemui meninggal dunia dalam keadaan cedera parah di bahagian leher, kepala dan kedua-dua mata dipercayai akibat senjata tajam.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintenden Noraidin Ag Maidin berkata, satu tangkapan telah dilakukan terhadap seorang lelaki berusia 47 tahun pada hari sama kejadian berlaku.
“Tangkapan dibuat pada hari yang sama melibatkan lelaki yang juga abang kepada mangsa.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai mengalami masalah mental dan pernah menjalani rawatan susulan di fasiliti kesihatan. Motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Beliau berkata, bedah siasat terhadap mangsa telah dijalankan di Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada Ahad.
“Mangsa ditemui dengan pelbagai kecederaan di bahagian leher, kepala dan kedua-dua biji mata, dipercayai akibat senjata tajam.
“Susulan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan, jika disabitkan kesalahan,” katanya.
Sehubungan itu, Noraidin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.
“Sekiranya terdapat sebarang maklumat, orang ramai diminta menghubungi Balai Polis Tuaran di talian 088-794313 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat,” katanya.


