Mahkamah Tinggi menolak permohonan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk merujuk kepada Mahkamah Persekutuan untuk menentukan sama ada beliau berhak mendapat imuniti daripada saman sivil yang difailkan oleh bekas pembantu penyelidik.
Hakim Roz Mawar Rozain berkata lapan persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh perdana menteri gagal melepasi ambang yang ditetapkan di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
“Tiada satu pun peruntukan yang dirujuk dalam Perlembagaan Persekutuan, seperti yang dihujahkan oleh peguam defendan, menimbulkan sebarang persoalan undang-undang yang nyata, penting dan boleh diadili yang memerlukan penentuan oleh Mahkamah Persekutuan,” katanya.
Roz Mawar berkata perbicaraan saman Yusoff Rawther, yang dijadual bermula pada 16 Jun, akan diteruskan seperti yang dirancang pada jam 9 pagi hari tersebut.
Beliau juga menolak permohonan penangguhan prosiding oleh peguam Anwar, Alan Wong.
“Maaf, tangan saya terikat,” katanya sambil menambah bahawa pihak defendan boleh memfailkan permohonan penangguhan di Mahkamah Rayuan.
Perdana menteri mahu mahkamah tertinggi memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberikan beliau imuniti bersyarat daripada saman yang difailkan oleh Yusoff empat tahun lalu.
Saman itu berkaitan dengan kejadian yang didakwa berlaku sebelum Anwar memegang jawatan pada 24 Nov 2022.
