Raub: Suami isteri warga emas ditemui meninggal dunia di dalam rumah di Kampung Sungai Ruan, di sini, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima laporan penemuan mayat pasangan itu pada 12.20 tengah hari, dengan keadaan mayat sudah berulat dipercayai meninggal dunia lebih seminggu lalu.
"Siasatan di rumah dihuni pasangan terbabit mendapati pintu depan rumah berkunci dan terpaksa mendapatkan bantuan pasukan bomba untuk membuka pintu belakang.
"Sebaik memasuki rumah, polis menemui mayat lelaki terbaring di dapur, manakala pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan mayat wanita di dalam bilik," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Shahril berkata, pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa dan kawasan sekitar tidak menemukan unsur jenayah.
Katanya, identiti pasangan itu juga dikenal pasti sebagai Woh Tong Seng, 75 dan isterinya, Loh Kam Ngo, 73.
"Polis sudah mendapatkan keterangan anak pasangan itu dan dimaklumkan Loh menghidap parkinson sejak 20 tahun lalu serta Woh pula mempunyai sakit jantung," katanya.
Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


