Lorong Belakang Premis & Kawasan Sekitar Ampang Point
Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) melalui Jabatan Penguatkuasaan telah melaksanakan operasi penguatkuasaan terhadap kenderaan yang diletakkan di lorong belakang premis dan kawasan sekitarnya di Ampang Point. Antara isu yang dikenal pasti termasuk kenderaan yang menghalang akses penting seperti pintu riser utiliti serta menutupi laluan kemudahan awam.
Hasil operasi, sebanyak 41 kompaun telah dikeluarkan di bawah Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) (MPAJ) 2007 atas kesalahan meletakkan atau menunggu kenderaan di lokasi yang tidak dibenarkan.
Tindakan tunda kenderaan turut dilaksanakan sebagai langkah penguatkuasaan tegas. Sepanjang bulan Mei 2025 sebanyak 29 buah kenderaan telah ditunda di kawasan Ampang Point atas pelbagai kesalahan lalu lintas yang melanggar peraturan Majlis.
MPAJ menyeru semua pihak agar lebih peka terhadap peraturan lalu lintas, tidak menghalang laluan kecemasan atau utiliti, serta menghormati kemudahan awam. Tingkah laku seperti parkir berhemah bukan sahaja mencerminkan disiplin diri malah membantu mewujudkan persekitaran bandar yang selamat, teratur dan kondusif untuk semua.
MPAJ akan meneruskan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan secara berkala di kawasan ini agar pematuhan undang-undang difahami oleh semua pihak.
