Lelaki tunjuk pistol ketika memandu direman 3 hari, miliki dua rekod lampau, positif dadah
KUCHING-- Seorang lelaki yang ditangkap kerana memegang pistol ketika memandu di persimpangan Jalan Keretapi, mempunyai dua rekod jenayah lampau dan positif dadah.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu yang mengesahkan tangkapan itu berkata, suspek berusia 22 tahun kini direman selama tiga hari sehingga 23 Jun ini.
"Hasil soal siasat awal ke atas suspek, dia mengaku terlibat dalam kes ini dan hasil semakan lanjut juga mendapati objek yang dipegang oleh suspek semasa kejadian adalah merupakan pistol tiruan.
"Suspek mempunyai dua rekod lampau jenayah dan hasil ujian saringan awal air kencing ke atas suspek didapati positif dadah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegas Alexson kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi satu tahun, atau dikenakan denda tidak melebihi lima ribu ringgit, atau kedua-duanya.
Tambahnya, kes juga disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya.
Semalam, tular satu video di media sosial yang berdurasi 9 saat memaparkan seorang pemandu lelaki memegang objek menyerupai pistol ketika memandu sebuah kereta di persimpangan Jalan Keretapi
Sehubungan itu, Alexson mengalu-alukan masyarakat sekiranya mempunyai maklumat lanjut berkaitan kejadian di atas dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Kes ASP Tan Kian Kok di talian 010-5661576 atau menghubungi balai-balai yang berdekatan.

